6:42 PM

Bermulanya di sini...

Bergeraknya ulat daun itu berdasarkan pada badannya, mengesot dari belakang ke depan, di atas daun mencari makanan untuk berevolusi. Jika makanan yang dimakannya baik, cukup dan menepati syarat bagi alamnya, maka, kelak dia akan menjadi seekor rama-rama yang cantik, bercorak di kepaknya dan menarik hati sesiapa yang melihatnya…

Konsep yang sama diaplikasikan kepada kehidupan manusia. Bermulanya manusia itu mengesot dan merangkak, kemudian, diberi makanan dan air susuan, bijirin dan biskut kegemaran. Apabila gigi mulai tumbuh, makanan yang lembut berubah menjadi makanan yang sedikit keras dan manis, nasi sudah dirasa, ais krim apatah lagi, pantang dinampak pasti merengek kepada ibu atau ayah. Apabila umur bertambah, usia kehidupan berkurang,dari merangkak kepada berjalan, dari merengek kepada berkata, dari tersenyum mulai ketawa, dari mengeja kepada membaca kemudian menulis dan melontarkan pandangan, manusia mula mencari dan menguasai ilmu dunia satu persatu. Kemudian merantau di tempat lain menuntut ilmu selama berpuluh tahun, kembali ke gagang dengan membawa bekalan pengetahuan di dada, pemikiran di minda dan pandangan di mata.

Jika rama-rama tadi kualiti evolusinya pada makanan yang dimakan dan hibernasi yang cukup, maka manusia yang melalui zaman kegemilangannya bergantung pada aqidah dan amalannya, ilmu dan penghayatannya, pemikiran dan tindakannya, kerja dan keikhlasannya, budi dan sifat kehidupannya dan pergaulan dengan akhlaknya. Jika perkara-perkara yang tersebut diberikan ruang yang sepatutnya dalam kehidupan manusia, maka percayalah, dia antara orang yang adil kerana meletakkan sesuatu itu pada tempatnya.

Begitulah muqaddimah blog saya. Berkisar dengan kehidupan manusia di sebalik pandangan mata seorang pelajar biasa, dan di sebalik pemikiran akal seorang manusia biasa.

Kata hilman, hidup umpama ais krim, nikmatilah ia sebelum ia cair. Ada betulnya jugak tu. Fikirkanlah dalam-dalam sambil memakan ais krim.

Terima kasih pada sahabat yang sudi melawat blog saya. Tiadalah saya harapkan, cuma berilah pandangan terhadap apa yang saya tulis. Seperti kata seseorang, kita manusia mesti ada melakukan kesilapan (maksudnya).Begitulah saya. Jika saya tidak melakukan kesilapan,maka sudah tentu saya bukan manusia. Jadi berilah pandangan yang sepatutnya diberikan, kerana hidup kita akan menjadi harmoni jika setiap orang itu adil.

Oleh itu, akhir kata…
Wassalam…
Aman hati…

Dua Yang Diwarisi